Apa itu Insomnia, ini adalah beberapa perkara yang perlu anda tahu:
Insomnia merujuk kepada masalah sukar untuk tidur atau kurang tidur juga tak dapat tidur yang berkualiti setiap malam atau hampir setiap malam, ia boleh menyebabkan kesan negatif pada kehidupan harian seseorang.
Ada banyak punca terjadinya Insomnia, antaranya faktor-faktor seperti tekanan, kebimbangan, depresi, gangguan tidur, sleep apnea, juga kesan kafein atau amfetamin, bahkan mungkin berpunca dari masalah kesihatan.
Ada dua jenis utama insomnia iaitu;
1- Insomnia di permulaan tidur. – Seseorang biasanya mengalami kesukaran untuk tidur pada awal malam.
2 – Insomnia gangguan tidur. – Ini pula merujuk kepada keadaan di mana seseorang kerap terbangun pada waktu malam dan mengalami kesukaran untuk tidur semula. Ia juga termasuk kerap terjaga beberapa kali pada waktu tidur.
Kedua-dua jenis insomnia ini menghasilkan satu kesan yang sama, iaitu kurang jam tidur. Semakin teruk insomnia anda, semakin kuranglah jam tidur. Sedangkan tidur yang berkualiti adalah sangat penting.
Gejala & simptom Insomnia termasuk susah tidur, bangun awal dari tidur, tidur yang terputus-putus, letih dan lesu ketika bangun tidur bahkan sepanjang hari pada waktu siangnya, rasa keletihan, dan gangguan mood. Lanjutan kurang tidur ini juga, boleh menyebabkan jantung yang kurang rehat mudah berdebar-debar sepanjang hari dan ini juga boleh menyebabkan datangnya anxieti.
Insomnia yang berlaku secara berterusan boleh meningkatkan risiko pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, kegemukan, masalah mental seperti kemurungan atau ‘anxiety’, dan penurunan daya tumpuan fikiran.
Lanjutan masalah Insomnia ini membawa kepada kehidupan harian yang mana ia boleh menyebabkan penurunan prestasi kerja dan produktiviti, kerana kurang tidur boleh mengganggu kognitif, fokus, dan kebolehan membuat keputusan. Gangguan emosi juga boleh berlaku dan memberi kesan pada kehidupan termasuk sewaktu bekerja. Di tahap tertinggi ia menjadi ‘anxiety’ sehinggalah juga kepada ‘depression’.
Sekiranya anda merasakan masalah insomnia anda semakin teruk dan sukar dikawal juga kesan-kesan buruk darinya mula mempengaruhi kehidupan anda, eloklah berikhtiar sesegera mungkin. Ini termasuk mencari cara-cara dari mengawal elemen-elemen punca , mengubah rutin harian dan lain-lain. Boleh juga mencuba rawatan secara alami, aroma terapi dan lain-lain cara yang ada.
Sekiranya anda masih tidak dapat mengawalnya, temuilah para doktor dengan segera untuk didiagnosis dan diberikan rawatan sebelum ia menjadi semakin parah.